Tuesday, May 4, 2010
Bukan cari publisiti mudah??yer ker??
Mas Idayu tidak mahu protegenya menyanyi dalam menderita
BAGI mereka yang menonton pengenalan program Mentor 4 pada malam Ahad lalu, pasti ada yang terkejut melihat tindakan spontan Mas Idayu menyuruh protegenya, Shaq supaya menghentikan nyanyiannya. Ini menimbulkan pelbagai persoalan apatah lagi ia disiarkan secara langsung di TV3. Apakah itu gimik ataupun ia memang tindakan Mas Idayu yang tidak mahu protegenya menjadi bahan kritikan apabila gagal menyanyi dengan baik. Biarpun dia menjelaskan bahawa tujuannya melarang Shaq dari meneruskan persembahan kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, namun ramai yang melihat tindakan Mas Idayu itu sebagai satu propaganda awal ciptaannya.
Sebagai bekas juara, tentunya Mas Idayu terdesak untuk menarik perhatian bagi memastikan kejayaan sekali lagi. Jadi tidak mustahil apa yang dilakukannya itu hanyalah sebagai publisiti awal untuk penonton mengenali siapa anak didiknya itu. Malah, berbanding mentor lain, dia saja yang sanggup mengadakan sesi uji bakat sebanyak dua kali hanya semata-mata mahu mencari seorang protege.
Mas Idayu ketika dihubungi Hip berkata dia mempunyai alasan untuk berbuat demikian dan ia tidak dilakukan atas dasar ingin meraih kemenangan semata-mata. Tegasnya, sebagai mentor dia berhak melakukan apa saja asalkan perkara itu mampu menjadikan protege atau anak didiknya sebagai seorang anak seni yang disegani, satu hari nanti.
Hip: Ramai menyangka apa yang berlaku pada Ahad lalu adalah gimik dari Mas Idayu semata-mata. Boleh jelaskan perkara ini.
Mas Idayu: Apa yang dilihat penonton ketika itu bukanlah sesuatu yang dirancang lebih awal oleh pihak penerbitan. Memang saya sengaja menghentikan nyanyian Shaq kerana dia memang tidak boleh menyanyi pada malam itu. Daripada memalukan dirinya sendiri, lebih baik saya suruh dia hentikan nyanyiannya. Pada malam itu, Shaq memang dinasihatkan oleh doktor supaya tidak menyanyi kerana mengalami kecederaan di bahagian kotak suara.
Saya pernah mengalami situasi sama apabila Black menghadapi masalah ini yang hampir-hampir menjejaskan suaranya. Bayangkan betapa gusar saya. Mujurlah dia (Black) diberikan suntikan lebih awal iaitu dua hari sebelum pertandingan berlangsung. Shaq pula hanya mendapat rawatan pada malam Sabtu selepas sesi raptai. Jangka masa waktu rehat yang tidak mencukupi membuatkan kotak suara Shaq agak membimbangkan dan boleh mendatangkan mudarat. Jadi, melihat keadaan semakin buruk dan vokal Shaq yang semakin kritikal membuatkan saya menghentikan terus nyanyiannya. Biarlah saya yang dikecam ketika ini daripada dia dikecam penonton disebabkan persembahannya yang mengecewakan itu.
Apa kata pihak penerbitan? Tidakkah itu mengganggu kerja mereka?
Mereka tidak berkata apa-apa. Namun selepas itu, saya ada maklumkan kepada pihak penerbitan dan memohon maaf kepada mereka. Malah saya juga ada mengirimkan emel permohonan maaf kepada mereka. Mujurlah selepas dijelaskan tujuan sebenar saya bertindak begitu, barulah mereka memahaminya. Tapi buat Shaq, perkara itu cukup mengecewakannya dan dia menangis apabila persembahannya dibatalkan begitu saja. Apa yang saya buat itu adalah untuk kebaikannya. Biarlah dia berehat seketika. Apapun, saya bersyukur penyakitnya itu dapat dikesan pada peringkat awal sebelum pertandingan sebenar bermula.
Publisiti mengenai Mas Idayu dan Shaq kerap disiarkan di TV. Ia seperti tidak adil buat mentor lain...
Sebagai mentor, saya turut terbabit dalam pembikinan iklan untuk produk penaja. Bukan salah saya kalau promosi atau iklan itu kerap disiarkan di TV. Lagipun saya sekadar menjalankan tanggungjawab saya dan memikul amanah yang diberikan. Saya tak ada hak untuk menentukan kekerapan wajah saya disiarkan di TV. Itu adalah tanggungjawab pihak pengurusan promosi di TV3.
Menerusi Jurnal Mentor, terdapat segmen menunjukkan Mas Idayu mengadakan majlis ulang tahun Shaq dan menghadiahkan dirinya dengan pakaian dan kasut. Apakah ia sengaja dipaparkan semata-mata untuk mengundang simpati penonton?
Sekadar menyambut ulang tahun anak didik saya itu rasanya bukanlah satu kesalahan besar. Sebagai mentor, tugas saya bukan saja memastikan dia boleh menyanyi tetapi penampilan pun harus dijaga. Shaq bukan datang dari keluarga senang. Tak salah kita bantu dia menyediakan kelengkapan untuk penampilan diri. Shaq seorang yang telus dan dia tidak malu menceritakan kesusahan dirinya. Jadi, sebagai mentor saya membantunya sedaya mungkin supaya dia boleh berjaya mencapai cita-cita yang diimpikannya.
Mentor lain hanya sekali mengadakan uji bakat tetapi Mas Idayu sampai dua kali. Kenapa?
Uji bakat kali kedua menggunakan duit saya sendiri. Itupun disebabkan saya tidak dapat berjumpa dengan protege yang dikehendaki. Lagipun, pihak penerbitan sendiri tidak suka dengan senarai pendek yang saya kemukakan ketika sesi uji bakat pertama. Jadi disebabkan itulah saya membuat uji bakat kali kedua di Johor Bharu. Mungkin sudah menjadi rezeki Shaq untuk menjadi protege saya. Saya katakan begitu kerana ketika mengadakan uji bakat di Kuala Lumpur, dia teringin untuk hadir tetapi disebabkan masalah kewangan, hasrat itu dipendam begitu saja. Berkat bantuan keluarga angkatnya yang selama ini banyak menyokong, akhirnya Shaq hadir ke Johor Bharu untuk diuji bakat. Saya akui bukan mudah untuk memilih siapa yang layak. Malahan saya menangis sewaktu membuat keputusan ini. Soal menang atau kalah, saya tak fikirkan sangat pada masa ini. Apa yang penting, biarlah peminat menyukai mereka terlebih dulu. Untuk mencapai tahap itu, mereka kena kerja keras dari sekarang
No comments:
Post a Comment